LAWAS, Sun: Ekonomi Sarawak akan terus diperkukuhkan setelah berjaya dipertingkatkan dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg.
Beliau berkata pendapatan Sarawak telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh enam tahun ini dengan adanya sumber-sumber pendapatan baharu.
Beliau menyatakan demikian pada ucapan sempena Majlis Makan Malam Komuniti bertempat di Stadium Tertutup di sini pada malam Sabtu.
Pendapatan Sarawak pada tahun lepas hampir mencecah RM12 bilion dan pada suku pertama tahun 2023 negeri ini mencatatkan pendapatan sebanyak RM5.004 bil seperti yang dilaporkan oleh Premier di sidang DUN baru-baru ini.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa ekonomi Sarawak terus kukuh sehingga ke 2030 dan seterusnya dengan tumpuan negeri ini ke arah ekonomi berbentuk baharu.
Dalam menyifatkan Sarawak sebagai agak ke hadapan ke arah menceburi bidang perniagaan karbon, beliau berkata baru-baru ini Duta Indonesia telah berjumpa beliau dengan beberapa orang ahli sains dari Jakarta.
Mereka ingin belajar daripada Sarawak untuk meneroka potensi perniagaan karbon, ujar beliau.
Beliau berkata pada Jumaat pihak pengurusan tertinggi bank OCBC daripada Singapura juga telah menemui beliau kerana percaya Sarawak mempunyai potensi yang cukup besar sebagai hub sumber tenaga lestari di rantau Asia.
Di samping itu, beliau juga yakin penglibatan Sarawak dalam meneroka potensi alga sebagai sumber lestari untuk menghasilkan bahan api untuk industri penerbangan atau Sustainable Aviation Fuel (SAF).
Sarawak bekerjasama dengan pihak Jepun dan Petronas untuk menyelidiki potensi alga di dua lokasi dekat Kuching, beliau menambah.
“Minggu lepas saya telah menaiki pesawat Airbus dari Kuching ke Langkawi yang menggunakan SAF yang dihasilkan di Sarawak,” ujar beliau.
Beliau juga menyentuh mengenai cadangan untuk mengwujudkan laluan keretapi lintas Borneo meliputi Sarawak dan Sabah.
Sarawak menyerahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuat kajian dan melaksanakan projek tersebut.
Timbalan Premier, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan turut berucap.
Sumber dari : Sarawakku